Wednesday, October 7, 2009

Bayi kena hempap batu, kayu selamat

PARIAMAN (Sumatera Barat): Berpantang maut sebelum ajal. Walaupun dihempap dinding batu dan kayu, seorang bayi perempuan berusia satu setengah bulan yang sedang tidur berseorangan di rumahnya di Kampung Lubuk Laweh, Tandikek di sini, terselamat dalam tragedi tanah runtuh berikutan gempa bumi, minggu lalu.

Dalam bencana jam 5.30 petang itu, Aini Hardi hanya patah kaki kanan serta luka di muka, manakala kakak dan abangnya berusia lapan dan empat tahun yang ketika itu berada di masjid terkorban dan mayat kedua-duanya belum ditemui.
Ibu kanak-kanak itu, Rosmawati Jose, 29, dan seorang lagi abang Aini, Faiz berusia dua tahun, pula terselamat. Suami Rosmawati, Hardi Saputra, 31, turut terselamat kerana tidak berada di rumah ketika kejadian.

Rosmawati ketika ditemui Berita Harian semalam, berkata ketika kejadian beliau ke rumah bapa saudaranya tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil ubat kerana kakinya bengkak.

"Tiba-tiba gempa berlaku menyebabkan saya meluru keluar untuk menyelamatkan anak-anak dan ketika itulah saya terkejut melihat tanah bukit runtuh dan melanda kampung seperti ombak besar.

"Saya terus berlari mendapatkan Faiz yang berada di depan rumah, namun sebelum sempat masuk ke dalam untuk mengambil Aini saya ditimpa pokok kelapa dan runtuhan dinding rumah," katanya yang masih trauma dengan kehilangan dua anaknya.

Rosmawati yang cedera pada seluruh badan termasuk muka dan pinggang, berkata Faiz yang dalam dukungannya turut tersepit di sebelahnya menyebabkan mereka tidak dapat bergerak.

"Saya menjerit meminta tolong. Faiz pula menangis kerana sakit dan terkejut. Ketika itu saya turut mendengar Aini menangis dan sangat sedih mengenangkan dia yang sangat kecil itu kesakitan akibat ditimpa runtuhan rumah. "Mujur kira-kira 10 minit kemudian, adik saya yang terselamat datang mencari kami dan saya menyuruhnya masuk ke runtuhan rumah mencari Aini," katanya.

Aini ditemui terperangkap di bawah runtuhan dengan hanya mulutnya kelihatan dari atas. Bayi itu terselamat kerana runtuhan tiang kayu yang bersilang menyebabkan dinding tidak menghempapnya secara langsung.

No comments:

Post a Comment