Saturday, October 3, 2009

PhD ekspress salah dari segi etika: Ungku Aziz

KUALA LUMPUR: Pembelian PhD secara ekspress adalah masalah etika di kalangan masyarakat dan ia perlu ditangani secara serius oleh kerajaan, kata Prof Diraja Ungku Aziz.
Tokoh akademik itu berkata, ini kerana isu terbabit jika dibiarkan bukan sahaja memburukkan nama baik institusi pengajian terlibat malah boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.
Namun beliau percaya institusi pengajian tempatan, awam atau swasta, menyedari "bahaya" pembeliaan Phd ekspress yang disifatkannya sebagai pengiktirafan "mee segera" membabitkan golongan tertentu.

"Pada saya ini soal etika. Universiti memang kena curiga untuk jaga nama baik dan mutu pendidikan. Apatah lagi kita sudah ada KPI (Petunjuk Prestasi Utama)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang meminta Jabatan Peguam Negara memutuskan sama ada pembelian gelaran seperti "Datuk" dari luar negara atau PhD secara ekspres adalah perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Rais turut melahirkan kebimbangan kegiatan itu akan melahirkan generasi "ilmuan palsu". Isu itu menarik perhatian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin pada Ahad lalu yang dilaporkan berkata tiada institusi pengajian tinggi swasta dan awam tempatan terlibat dalam kegiatan itu.

Mohd Khaled juga dilapor berkata akan meminta Rais menjelaskan mengenai perkara itu sebelum membawanya dalam mesyuarat Kabinet esok.

Bernama difahamkan isu pembeliaan doktor falsafah itu kebanyakannya melibatkan IPT luar negara secara "online" dan sehingga hari ini tiada sebarang bukti kukuh perkara itu berlaku di negara ini sekalipun ia sering dikaitkan dengan orang kenamaan dan orang politik.

Ungku Aziz berkata kebanyakkan pembeliaan PhD ekspress ini melibatkan, sama ada tesis seseorang itu dibuat individu lain atau ia diceduk dan bukannya suatu dapatan kajian baru.
Selalunya, beliau berkata, beberapa penilai akan menilai sebelum PhD diberikan kepada individu yang layak.

Bagi Prof Dr Musa Abu Hassan, pembeliaan Phd ekspress itu tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ia akan menghasilkan "ilmuan plastik" dalam masyarakat.

"Tiada ijazah, tiada master tetapi ada PhD. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku," kata profesor teknologi komunikasi dan informasi (ICT) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang ketika diminta mengulas isu sama.

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment